Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari dirinya dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.
(An-Nisa;1)

Tuesday, 20 July 2010

Wanita Dan Isteri: Antara Hak dan Tanggungjawab

PENGENALAN
Sejak kebelakangan ini masyarakat Islam di negara kita kerap dipaparkan dengan berita-berita dan ulasan-ulasan berkenaan penganiayaan atau pengabaian terhadap golongan wanita terutama yang bergelar isteri. Walaupun hakikatnya dalam persoalan ini ia turut merangkumi anak-anak yang tidak mengerti apa-apa, namun kerana mereka masih lagi di bawah naungan ibu atau bapa maka perbincangan tentang mereka tidak banyak dibuat. Kalau ada pun ia hanya diletakkan dalam aspek pengabaian hak isteri yang bergelar ibu kerana apabila berlaku perceraian, pihak yang kerap terbayang dalam persepsi masyarakat akan membela dan menjaga anak-anak adalah si ibu.
Apabila setiap hari berita atau perbincangan mengenai wanita atau isteri ini hanya menekankan hak-hak mereka yang tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikan sama ada suami, bekas suami, ayah dan sebagainya, maka lama kelamaan perasaan memihak kepada wanita di kalangan masyarakat akan menebal. Tekanan yang ditimbulkan oleh berita-berita ini walaupun kadang-kadang tidaklah menggambarkan realiti yang sebenarnya telah membuatkan ramai individu dan banyak pihak yang bangun untuk memperjuangkan nasib manusia malang yang mendakwa dianiaya dan dinafikan hak mereka,. Secara perbandingannya dapatlah dikatakan gambaran yang dipaparkan oleh laporan dan reaksi orang ramai tentan nasib wanita atau isteri di kalangan masyarakat Islam di negara ini samalah seperti nasib Palestin dan Lebanon di Timur Tengah yang dianiaya oleh Israel dan sekutunya.
Reaksi yang paling bernilai dan yang sudah pasti dihargai dan disanjungi oleh golongan wanita ialah reaksi yang ditunjukkan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal wanita dan keluarga di negara ini. Berbagai cadangan, inisiatif dan langkah telah dilakukan oleh pihak yang berkenaan demi untuk membela nasib golongan wanita yang teraniaya. Ada langkah yang diambil bersifat kempen secara diplomasi dan memujuk pihak lelaki supaya tidak menganiaya golongan wanita. Ada juga langkah yang dilakukan berbentuk obligasi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh golongan lelaki yang terlibat. Pujian dan ucapan terima kasih perlu dihulurkan oleh golongan wanita dan isteri kepada pihak yang telah memperjuangkan dan membela nasib mereka.

No comments:

Post a Comment